 Ekstra! : 4 September 2007 Oleh Rafaat Hamzah Penulis Sambilan
SAMBUTAN menggalakkan daripada sekolah-sekolah ketika pertama kali dipentaskan dalam 2001, menggalakkan lagi Teater Kami membuat persembahan susulan dari 13 hingga 18 Ogos lalu.
Barisan pelakon-pelakon hebat menjadikan pementasan Balada Tun Fatimah lebih mudah dicerna.
Malangnya, kelompok pelakon-pelakon hebat Teater Kami ini hanya 'terkurung' dalam arena black-box mereka.
Kehebatan bakat mereka tidak menembusi tembok-tembok pentas lain.
Kelakonan Nordalifah Md Shahril, Md Adib Kosnan Siran, Suhaila Md Sanif dan Anwar Hadi Ramli amat membanggakan. Pelakon pelapis seperti Hisham Helzie Mohd Sahilman, Kamarulzaman Abdul Rahim dan Nursyazwani Ya'kob pula cukup meyakinkan.
Atin Amat yang hebat dengan pementasan-pementasan berbentuk epik seperti Salina dan Lantai T.Pinkie dalam pertengahan 1990-an pula semakin selesa dengan teratak kecil black-box.
Sudah tiba masanya Teater Kami melangkah semula ke gelanggang besar. Dalam ruang kecil, tidak banyak boleh dilakukan terutama setelah mementaskan puluhan drama di ruang yang sama. Malah, ia boleh membendung kreativiti. Balada Tun Fatimah akan lebih 'menggigit' jika naskhah itu dikembangkan dengan lebih terperinci dan digubah semula sebagai suatu persembahan yang besar dan melibatkan ramai pemain. Ini akan memberi lebih daripada sudut pengkaryaan sama ada bagi pengarah, pelakon mahupun teknikal.
Sebagai sebuah naskhah yang penuh dengan nostalgia yang menceritakan kehebatan sekali gus kehancuran Kesultan Melayu Melaka, Balada Tun Fatimah adalah sebuah drama penting yang harus disajikan kepada generasi akan datang.
Dalam pementasan kali ini, Atin menggarap unsur tarian randai (asal Padang, Sumatera Barat) yang merupakan satu pendekatan yang baik untuk memperkenalkan seni ini kepada generasi muda.
Sayangnya, tidak ada penjelasan yang diberi kepada para penonton yang mungkin hanya menyangka ia gerak tarian biasa sahaja.
Sekiranya drama ini dipentaskan di ruang yang lebih besar dan diperkembangkan naskhahnya, pasti tidak sulit bagi Atin menyelitkan unsur-unsur seni lain seperti Makyong, Main Puteri, Menora, Tarian Aceh dan sebagainya dan ini akan membuat persembahan drama Balada Tun Fatimah lebih menarik dan tidak terasa mendatar daripada sudut penceritaan. Isi naskhah ini juga boleh dikembangkan daripada pelbagai sudut.
Kisah Tun Fatimah juga boleh dijengah daripada sudut politik Melaka ketika itu. Isu-isu pertelingkahan antara pembesar juga boleh dirumus dan diperhalusi untuk menimbulkan kelicikan mereka dalam perjuangan mengejar harta dan nama. Berbalik kepada usaha Teater Kami mengetengahkan karyanya kepada pelajar, ia memang wajar dipuji.
Sehingga kini, pengikut Teater Kami yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah itu sudah mula mengerti dan menghargai teater.
Sudah tiba masanya Teater Kami melangkah semula ke gelanggang lebih besar sekali gus menembusi sasaran yang lebih besar pula.

| |
|