MEMBUJANG DEMI TEATER
Oleh
Siti Nur Ida Mohamed Ali
Bekas Pelajar Maktab Rendah Serangoon
BERMACAM-MACAM watak dibawanya dengan baik di dalam pementasan gah, Gentarasa 2007 - Titisan Cacamerba (Dynamic Transformation), yang dipentaskan di Politeknik Republic, baru-baru ini.
Anwar Hadi Ramli, 27 tahun, menjadi ketua lanun, orang kampung, pengadil bola sepak, mekanik dan Koperal Ya'kob, silih berganti.
Ayuh, kita kenali belia lulu san Politeknik Temasek ini.
Saya adalah seorang yang...: Selenge, tidak kacak, gigi jongang dan mempunyai badan macam 'papan sekeping'.
Ada orang yang menyatakan saya ada sejenis penyakit pelik, Obsessive Compulsive Disorder.
Saya suka barangan saya teratur, bersih dan kemas. Saya suka buat kelakar kerana suka melihat orang lain ketawa. Namun, saya tidak suka ditertawakan tetapi selalu ada saja yang ketawakan saya! Gasak merekalah!
Saya mula meminati teater...: Pada usia 10 tahun, saya kerap mengambil bahagian dalam pementasan sekolah. Namun, saya berkecimpung secara aktif dalam teater profesional pada 1997.
Watak yang paling digemari: Rekrut ataupun Prebet Naseerudeen di dalam NSMen LIFE!, terbitan Teater Kami Ltd pada September 2003. Saya juga suka jadi pengadil bola sepak dan mekanik.
Makanan kegemaran: Sambal goreng emak.
Melepak di...: Tiada tempat tertentu. Selalunya bergantung pada tempat latihan dijalankan. Kalau dengan Teater Kami, lepak di Newton. Kalau dengan Teater Ekamatra, jawabnya di Lau Pa Sat. Kalau dengan Act 3, di Binjai Park. Sewaktu latihan Gentarasa, tempat paling digemari ialah kedai kopi Kim San Leng, yang ada cicak melekat di papan tandanya! Ia bersebelahan Kelab Masyarakat Bishan Central.
Idola saya...: Raja Iskandar Dzulkarnain ataupun Alexander the Great.
Saya akan terus bergiat di dalam teater kerana...: Kemahiran saya hanya di dalam bidang ini.
Saya juga dapat menjangkakan saya akan terus membujang kerana kerja teater ni, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ia sesuatu kerjaya yang dipandang hanya sebagai hobi.
Ada yang kata ia tidak mempunyai masa depan, tidak ada simpanan CPF dan tidak mendatangkan hasil.
Bagaimanapun, insya-Allah, saya akan tetap meneruskannya dan membuka mata masyarakat bahawa adanya manusia seperti penggiat teater berkongsi udara dengan mereka.
Kalau mata mereka tidak terbuka juga, saya akan terus berusaha. Sekurang-kurangnya kalau tidak terbuka sekarang, terbukalah untuk generasi akan datang.
Kalau ditakdirkan tidak dapat berteater lagi, saya akan...: Jadi pemandu teksi yang melepak dari 10 malam di ceruk-ceruk, kemudiannya mencari penumpang selepas 1 pagi.